Frost enggan dedah perlantikan jurulatih baharu

By Amirul Azreen 2 October 2016
Frost enggan dedah perlantikan jurulatih baharu

Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, masih berteka-teki terhadap siapa pilihan melengkapkan barisan kejurulatih perseorangan kebangsaan ketika dia akur bimbang dengan perkembangan skuad itu tanpa adanya penerus legasi kepada Datuk Lee Chong Wei.

Frost bagaimanapun mengesahkan sudah bertemu dengan beberapa calon bagi mengisi kekosongan dalam skuad perseorangan sepanjang dua minggu ini.

Salah seorang daripadanya adalah bekas perseorangan lelaki negara dan anak didik Frost, Sairul Amar Ayob.

Meskipun terus berteka-teki, Frost menawarkan kriteria yang dimahukan sebelum mengesahkan perlantikan.

"Saya mencari jurulatih yang pernah mernjadi pemain badminton yang mantap sebelum ini. Tetapi pada masa sama saya mencari jurulatih yang sanggup memberi komitmen dan akan mencurahkan pengalaman mereka kepada pemain negara," jelasnya.

Sementara itu, Frost mengakui dia mahu perlantikan tersebut berlaku secepat mungkin.

Perubahan barisan kejurulatihan dalam skuad perseorangan negara bakal menyaksikan Wong Tat Meng dan Indra Wijaya membentuk pemain muda.

Ini bermakna jurulatih baru itu nanti akan mengambil alih tempat Tat Meng dalam skuad perseorangan wanita.

"Kami sedang berbincang dengan seorang jurulatih perseorangnan untuk menggantikan tempat Wong Tat Meng yang akan bertindak membentuk skuad pelapis."

About Author

Amirul Azreen

Comment