Frost akui Malaysia perlu tempoh lama untuk ganti Chong Wei

By Staff Writer 11 January 2017
Frost akui Malaysia perlu tempoh lama untuk ganti Chong Wei
Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, menggesa pemain dan jurulatih perseorangan negara memandang serius pendapat bahawa acara itu berada dalam keadaan tenat kerana jurang terlalu besar di antara Datuk Lee Chong Wei dan pemain lain. 

Frost meramalkan BAM memerlukan tempoh tiga hingga empat tahun untuk membentuk pemain sedia ada bagi mengejar kejaguhan Chong Wei yang berada di ranking pertama dunia.

Ketika ini, Iskandar Zulkarnain Zainuddin adalah pemain paling hampir dengan menghuni ranking ke-23 dunia sementara Zulfadli Zulkiffli, 31.

Situasi pasti sukar jika Chong Wei bersara, sekali gus mengundang kebimbangan pegawai BAM.

"Ketika saya memulakan tugas bersama BAM dua tahun lalu, kami menghadapi kesukaran dalam pasukan beregu, bukannya pemain perseorangan yang menjadi masalah utama kami.

"Saya berasakan kami memiliki pemain-pemain muda yang berpotensi untuk berada di dalam kelompok 15 terbaik tetapi ia akan memakan masa yang panjang," kata Frost.

"Tanggungjawab terletak di tangan saya," kata Iskandar. "Saya tidak terfikir untuk menggantikan Chong Wei. Dia adalah seorang pemain yang terbaik dalam sukan ini. Saya berharap untuk mempertingkatkan permainan saya dan berada di dalam kelompok 10 terbaik."

Terdahulu, Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, menyuarakan betapa pemain perseorangan lelaki negara berada dalam situasi tenat selepas mengadakan pertemuan dengan jurulatih negara.

Masalah ini sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu dan ia lebih parah jika Chong Wei bersara dalam masa terdekat.

Semua pemain utama negara dijadual menyertai Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Sibu, Sarawak bermula 17 Januari ini, kecuali Chong Wei yang memilih untuk fokus terhadap latihan.

About Author

Staff Writer

Comment