"Untuk kemajuan sukan tanah air, mereka yang terlibat tidak kira pemain, jurulatih atau pihak pengurusan perlu memahami konsep dan falsafah sukan yang mereka ceburi," tegas jurulatih legenda pasukan badminton Perak era 70-an dan 80-an, Ang Seng Kiat.

Seng Kiat adalah 'sifu' yang pernah membimbing pemain-pemain senior Perak dan kebangsaan seperti Cheah Soon Kit, Clearence Kim, Chong Weng Kai, Ng Kar Loke, Wong Tat Meng dan Rahman Sidek.

Walaupun sudah berusia 71 tahun, Seng Kiat tetap mengikuti perkembangan sukan badminton dan masih berharap 'politik' dalam sukan dapat dihindari kerana impaknya memberi kesan negatif.

"Zaman saya perkara ini berlaku dan sepatutnya hal ini telah diperbaiki.

"Begitu juga untuk jurulatih. Mereka perlu mempunyai semangat dan imginasi kejayaan. Jika individu itu tidak ada visi dan misi, pasti tidak akan ke mana-mana," katanya.

Mengulas prospek kemajuan pemain, Seng Kiat berkata: "Melentur buluh biar dari rebung. ini amat bersesuaian kerana asas dan kelebihan perlu diselarikan agar dapat memaksimumkan keupayaan seseorang pemain."

Beliau hadir ketika sesi pemilihan pemain-pemain pelapis skuad badminton negeri di bawah anjuran Akademi Badminton Perak di Ipoh, semalam.

"Kehadiran Seng Kiat menyuntik semangat kami untuk terus membangunkan sukan badminton di sini," kata Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Perak, Mohamed Zambri Bahari.