Bekas perseorangan lelaki nombor satu negara, Ong Ewe Hock, tidak berselindung dalam menyuarakan pandangan peribadi terhadap kemerosotan prestasi skuad kebangsaan.

Pada pengamatannya, segala kepincangan dalam skuad kebangsaan ketika ini berpaksikan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Katanya, terlalu banyak input daripada Exco BAM dan bukan tenaga pakar yang berupaya memberikan pandangan lebih efektif.

"Pertama, pihak pengurusan, iaitu exco atau presiden. Kedua adalah barisan kejurulatihan dan ke bawah.

"Sekarang, kedua-duanya bercampur. Ia kerana kejurulatihan diganggu. Jurulatih yang baik semuanya sudah meninggalkan pasukan.

"Apa yang saya nampak adalah politik exco. Kuasa memilih pemain seharusnya diberikan kepada jurulatih. Tetapi, sekarang ini pihak pengurusan yang memutuskan siapa yang akan bermain," ujar Ewe Hock.

Jika ada sesuatu yang boleh dibanggakan Malaysia ketika ini adalah kehadiran bakat seperti Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao dalam skuad kebangsaan.

Tetapi, katanya, mereka perlu segera menghampirkan diri dalam kelompok pemain terbaik dunia.

"Kita mahu mereka tersenarai dalam 10 pemain terbaik atau 20 terbaik. Sekarang ini jauh lagi.

"Dalam kelompok 10 terbaik barulah orang akan bercakap tentang 'super elit' seperti Chong Wei, Lin Dan dan Viktor Axelsen.

"Pemain-pemain terbaik ini tidak akan kalah dalam peringkat awal. Mereka selalunya akan mara ke separuh akhir atau akhir.

"Pemain kita sekarang ini belum cukup matang lagi, ia belum sampai lagi. Apabila sudah sampai, kita akan nampak sama ada mereka menyertai pemain elit atau 'super elit'," katanya lagi.