Pemain beregu lelaki, Teo Ee Yi, enggan meletakkan tekanan ke atas diri sendiri bagi mengelak daripada tenggelam dengan reputasi sebagai gandingan nombor dua negara bersama Ong Yew Sin.

Ee Yi sebenarnya tidak asing dalam skuad negara memandangkan dia merupakan bekas juara remaja dunia bersama Nelson Heg Wei Keat pada 2011.

Hanya selepas digandingkan bersama Yew Sin tahun lalu, Ee Yi berupaya memenuhi potensinya.

Tiga kejuaraan dalam cabaran antarabangsa dan satu gelaran Grand Prix (GP) Emas menjadi bukti persediaan dia dan Yew Sin sebagai pencabar kepada pasangan senior, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Malah, tanggungjawab besar turut diberikan kepada Ee Yi dan Yew Sin yang akan mengetuai kempen dalam Kejohanan Berpasukan Campuran Asia, di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam bulan depan.

"Kami tidak begitu tertekan memandangkan dalam permainan, tiada apa yang dipertaruhkan.

"Saya cakap kepada Yew Sin, 'kita berusaha bersungguh-sungguh dan berjuang bersama-sama'.

"Saya harap kami dapat meraih keputusan yang bagus sedikit masa lagi," ujarnya.

Eei Yi juga semakin teruja dengan perancangan penyertaan jadual lebih intensif bagi musim ini yang akan membantu peningkatan ranking mereka.

"Kami sememangnya meletakkan sasaran tinggi dalam GP Emas Malaysia.

"Selepas ini, kami akan beraksi dalam kejohanan Berpasukan Campuran Asia dan Seluruh England buat kali pertama.

"Saya harap kami dapat menampilkan permainan yang bagus."