Kelab Badminton (KB) Ampang Jaya berharap kehadiran dua muka baru ketika jendela perpindahan SS Purple Leaague (SSPL) dapat membantu kelab itu mara lebih jauh dalam pusingan kalah mati musim ini.

KB Ampang Jaya, yang menghuni tangga kelima dalam pusingan round robin, membawa masuk pemain dari India dan Vietnam bagi memperkuatkan pasukan.

Jurulatihnya, Ho Khek Mong, berkata, “Untuk peringkat kalah mati Purple League di Genting Highlands nanti, kami masih dalam persiapan dengan memperbaiki kelemahan pasukan ketika ini seperti dalam perseorangan lelaki.

“Sebab itulah, semasa jendela perpindahan yang dibuka baru-baru ini, pasukan telah mendapatkan dua pemain import baru masing-masing dari India dan Vietnam untuk memperkuatkan pasukan. Mereka adalah Ajay Jayaram dan juga Nguyen Tien Minh."

Mengulas pertemuan dengan menentang KB Puchong United di peringkat kalah mati nanti, Khek Mong berkata, “Saya rasakan peluang adalah 50-50 di mana mereka mempunyai kekuatan di dalam pemain perseorangan manakala kami tetap yakin pemain beregu kami seperti Lukhi Nugroho dan Muhammad Syawal akan menyumbang mata buat pasukan.

“Sebab itulah saya membawa masuk pemain perseorangan lelaki kerana kami ingin mencuri mata daripada acara itu sambil mengharapkan pemain beregu konsisten dalam mendapatkan kemenangan untuk pasukan.

"Apapun, saya mengharapkan persembahan terbaik nanti daripada pemain untuk membantu pasukan KB Ampang Jaya layak ke final SSPL."

Menurut jurulatih itu juga, kehadiran pemain importnya bukan sahaja penting untuk saingan SSPL, malah mereka juga akan berkongsi pengalaman dengan pemain-pemain junior kelab itu.

“Mereka akan hadir semiggu sebelum pusingan kalah mati bermula di mana mereka juga akan berlatih bersama pemain-pemain junior kelab ini.

"Jadi, kami yakin dengan kehadiran pemain-pemain luar ini, mereka akan memberikan satu pendedahan berguna kepada pemain muda untuk menjadi pemain berkualiti untuk kelab ini pada masa depan,” tambahnya.

Dalam saingan SSPL musim lalu, KB Ampang Jaya menduduki tempat ketujuh. Gelaran juara musim lepas dirangkul oleh KB Muar City, KB Petaling Jaya muncul naib johan manakala tempat ketiga pula menjadi milik KB Puchong United.

Pada edisi kali ini, enam pasukan yang telah mengesahkan tempat ke peringkat kalah mati adalah KB Muar, KB Bandar Utama Dragons, KB Puchong United, KB Petaling Jaya, KB Ampang Jaya, dan KB Petaling

Mereka akan membuat perhitungan dari 9 hingga 12 Februari di Arena of Stars, Resorts World Genting bagi mencari juara SSPL musim ini. Pasukan bawahan liga pula akan berentap menentukan kedudukan ketujuh hingga ke-10.