Pasangan adik-beradik dari Kuala Lumpur adalah antara yang mencuri tumpuan dalam kalangan 28 peserta latihan lanjutan luar negara Kem Badminton Astro di Tokyo, Jepun.

Sean Ngu dan Sarah Ngu bersama peserta lain berada di Pusat Latihan Nasional Tokyo bagi menjalani latihan dalam kem berkenaan yang akan berakhir esok.

Berkongsi minat yang sama dalam sukan badminton, sudah pasti ia menjadi satu keistimewaan buat mereka.

"Kami bermain bersama di tempat latihan berdekatan rumah kami selain berlatih dan bersenam bersama-sama," kata Sarah.

Sementara itu, Sean berkata: "Ayah saya akan menempah tempat latihan untuk kami berlatih dan kami berlatih sekurang-kurangnya dua jam sehari.

"Selesai pulang dari sekolah, kami akan berlatih sehingga petang sebelum pulang untuk mengulang kaji pelajaran."

Ini adalah tahun terakhir untuk Sean mengambil bahagian dalam Kem Badminton Astro selepas baru sahaja menamatkan pengajian sekolah rendah manakala Sarah akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun depan.