Berputus asa lebih mudah berbanding kemahuan untuk bangkit tetapi tidak buat individu yang membuktikan semangat mengatasi segala-galanya.

Pasca Olimpik London 2012, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih tercari-cari siapakah ikon perseorangan lelaki negara selepas Datuk Wira Lee Chong Wei.

Pada kacamata BAM, Goh Giap Chin tidak tersenarai daripada individu itu memandangkan dia disifatkan tidak memiliki fizikal mahupun bakat semulajadi untuk menjadi pemain bintang pada masa akan datang.

Bagaimanapun, BAM terlepas pandang hakikatnya dia memiliki perwatakan luar biasa.

Tanpa disedari, badan induk badminton negara itu telah membunuh impian seorang anak muda pada tahun 2014.

"Ketika itu, BAM memberitahu saya bahawa saya tidak boleh pergi jauh kerana tidak memiliki bakat dan sebaliknya berkata lebih baik saya menjadi pemain 'sparring' sahaja.

"Jadi pada masa itu, saya berasakan masa depan saya terhalang jika saya hanya menjadi pemain 'sparring'.

"Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk keluar daripada BAM dan cuba cari peluang, jika tidak cuba melakukan perkara lain," jelasnya.

Giap Chin yang sentiasa memandang jauh sudahpun berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

Lapan bulan hilang arah, dia terpaksa menyara kehidupan sebagai seorang usahawan Amway.

Tetapi sokongan daripada seorang sahabat mengembalikan Giap Chin kepada keghairahan asalnya.

"Saya perlu mengucapkan terima kasih kepada sahabat saya kerana dia menyedarkan saya.

"Dia berkata bahawa saya telah terlibat dalam badminton hampir 10 tahun, dia enggan saya membazirkan masa saya.

"Dia juga mengingatkan saya bahawa ketika itu saya masih muda, jadi dia menggesa saya untuk berjuang dalam arena badminton dan jika tidak ada sebarang hasil, dia mencadangkan saya untuk teruskan perniagaan Amway itu," tambah Giap Chin.

Pertemuan dengan jurulatihnya turut menyuntik semangat yang menyaksikan Giap Chin kini sentiasa tersenyum.

"Selepas keluar dan berjumpa dengan jurulatih saya, ketika itu saya dapat rasakan impian dan masa depan saya lebih cerah.

"Kini kehidupan saya lebih menggembirakan berbanding ketika berada di bawah naungan BAM," katanya.

Jika di BAM, Giap Chin dipandang sepi, namun di pentas Purple League, dia adalah raja seperti yang dibuktikan dalam aksi perebutan kejuaraan musim 2017.

Ironik dalam pertemuan penentuan, dia membuat perhitungan menentang salah seorang prospek BAM, bekas juara remaja Asia 2013, Soo Teck Zhi.

Tekanan memuncak dan lebih manis buat yang berada di belakang Giap Chin apabila dia unggul sebagai underdog untuk menjulang Petaling Jaya BC.

"Saya tidak terlalu memikirkan perkara itu tetapi prestasi saya kali ini lebih baik. Saya menyasarkan untuk menduduki kelompok 50 terbaik dunia pada tahun ini kerana ketika ini saya berjaya tersenarai dalam kelompok 80 terbaik dunia," jelas pemain berusia 24 tahun itu.

Giap Chin tidak menyemat rasa dendam ke atas mana-mana individu, cuma hari dia diberitahu dia tidak ada masa depan sebagai seorang pemain badminton menjadi pembakar semangat untuknya membuktikan kepada mereka yang meluahkan kata-kata itu telah melakukan satu kesilapan.

"Saya tidak ada sebarang perasaan tidak puas hati kepada sesiapa tetapi saya menganggap ini satu pembakar semangat untuk membuktikan saya masih boleh beraksi, terutama kepada mereka yang pada awalnya menganggap saya tidak boleh pergi jauh."