Daren harap tahun 2017 akan jadi lebih baik buat pemain muda

By Ammar Hakim 28 December 2016
Daren harap tahun 2017 akan jadi lebih baik buat pemain muda

Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Liew Daren, bersimpati melihat bakat dalam skuad kebangsaan terus dibelenggu tekanan untuk memenuhi potensi.

Faktor tekanan itu juga yang menyaksikan Daren mengambil keputusan meninggalkan kem Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini.

Di samping Chong Wei Feng yang turut mengambil langkah sama, Daren pernah dicanang menjadi pengganti pemain perseorangan nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei.

Bagi Daren, hanya Iskandar Zulkarnain Zainuddin wajar diberikan pujian di atas pretasinya musim ini dengan prospek daripada kalangan pemain muda seperti Soo Teck Zhi dan Soong Joo Ven memerlukan inspirasi untuk bangkit pada 2017.

“Bagi saya, pemain-pemain muda masih belum meraih sebarang pencapaian yang baik kecuali Iskandar. Saya berharap mereka dapat mempertingkatkan mutu permainan mereka pada tahun akan datang,” kata Daren.

Setidak-tidaknya Daren menikmati kehidupan sebagai seorang pemain profesional meskipun tidak lagi memiliki limpahan keistimewaan sebagai pemain kebangsaan.

Malah, dia akur 2016 adalah antara prestasi terbaiknya dengan penampilan dalam dua perlawanan final bertaraf GP Masters Taiwan dan Korea Selatan.

“Memang kekurangan keistimewaan tetapi saya dapat mempamerkan aksi yang lebih konsisten sejak kebelakangan ini.”

 

About Author

Ammar Hakim

Comment