Daren gagal ke separuh akhir Terbuka Thailand

By Jannah Ali 7 October 2016
Daren gagal ke separuh akhir Terbuka Thailand
Pemain perseorangan lelaki negara, Liew Daren, gagal untuk menempatkan diri dalam separuh akhir Grand Prix (GP) Emas Terbuka Thailand di Bangkok hari ini apabila tewas kepada pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu, 21-12, 17-21, 21-15.

Perlawanan yang mengambil masa 59 minit itu menyaksikan Daren ketinggalan pada set pertama apabila Cheuk Yiu mudah menewaskannya 21-12.

Bagaimanapun, Daren tidak berputus asa apabila bangkit untuk merampas set kedua 21-17. Memasuki set penentuan, Daren gagal untuk mengekalkan momentum terbaiknya dan terpaksa akur dengan kekalahan 21-15.

Dalam perlawanan beregu campuran yang menemukan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, dengan pasangan Chinese Taipei, Liao Min Chun-Chen Hsiao Huan, wakil negara berjaya untuk menempah tempat dalam separuh akhir esok dengan kemenangan 15-21, 21-19, 11-21.

Pertemuan di antara dua wakil negara dalam acara perseorangan wanita memastikan satu slot di separuh akhir menjadi milik negara.

Goh Jin Wei dan Ho Yen Mei, yang bertemu sesama sendiri hanya mengambil masa 30 minit. Menepati jangkaan, Jin Wei mara ke separuh akhir selepas menewaskan Yen Mei 21-17, 21-13.

Berita gembira terus diraih menerusi beregu lelaki negara, Khim Wah-Ong Jian Guo, yang menumpaskan pasangan tuan rumah, Bodin Isara-Nipitphon Phuangphuapet, 21-15, 17-21, 21-14.

Menanti pasangan negara dalam perlawanan separuh akhir esok ialah beregu dari Indonesia, Berry Angriawan-Rian Agung Saputro.

Lain-lain keputusan:

Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean kk Puttita Supajirakul-Sapsiree Taerattanachai,  9-21 4-21.

Hoon Thien How-Teo Kok Siang kk Berry Angriawan-Rian Agung Saputro, 16-21 17-21.

Tee Jing Yi kk Aya Ohori, 13-21 6-21.

About Author

Jannah Ali

Comment