Jurulatih Kelab Badminton Petaling (Petaling BC), Yap Kim Hock, berkata dia akan meletakkan harapan ke atas bahu Datuk Wira Lee Chong Wei di samping bersandar kepada barisan pemain import dalam pusingan kalah mati SS Purple League 2017 yang akan berlangsung di Arena Genting Highlands, 9 Februari depan.

Dalam saingan liga round robin sebelum ini, pemain tempatan kelab itu memainkan peranan menghulurkan bantuan bagi membawa pasukan ke pusingan kalah mati.

Oleh itu, bagi aksi di Genting Highlands bulan depan, Kim Hock akan bergantung kepada keringat import baru, Wang Yi Han dari China, selain meletakkan harapan ke atas jaguh perseorangan no.1 negara, Chong Wei.

Agak bergelut untuk memastikan kelab ini layak ke saingan kalah mati tatkala berada di kedudukan keenam liga, Kim Hock tidak menafikan format baru kiraan 11 mata mempengaruhi aksi anak buahnya.

"Datuk Wira (Lee Chong Wei) menjadi keutamaan Petaling BC. Kalau kami mahu menang, kami perlukan Datuk Wira," jelas Kim Hock.

Dalam perkembangan lain, Pengurus Petaling Jaya BC, Manoj Kumar, turut menggunakan resipi sama dengan mempertaruhkan tiga pemain import baru, masing-masing dari Korea Selatan dan India, untuk beraksi.

"Kami memiliki Kim Sa Rang, yang pernah menghuni ranking lima terbaik dunia dan juga Shin Baek-Cheol yang akan beraksi dalam beregu campuran," ujar Manoj.