Jurulatih Kelab Badminton (KB) Petaling, Yap Kim Hock, mengharapkan kehadiran Datuk Wira Lee Chong Wei akan menghadiahkan kemenangan buat pasukan itu, sekaligus layak ke peringkat kalah mati SS Purple League (SSPL) musim ini.

Bertemu KB Ampang Jaya pada Sabtu ini yang juga merupakan perlawanan terakhir peringkat liga, Chong Wei akan melakukan penampilan sulungnya dalam kempen SSPL musim ini bersama KB Petaling.

Kim Hock berkata kehadiran jaguh badminton negara itu sudah pasti akan menyuntik semangat pasukannya yang masih memerlukan kemenangan dalam baki dua perlawanan peringkat terakhir.

Bekas jurulatih negara itu berkata, “Ya sudah pasti Datuk Lee Chong Wei akan diturunkan buat kali pertama apabila kami berjumpa KB Ampang Jaya nanti.

"Kami harap dia dapat memberikan mata kepada pasukan dan paling penting motivasi pasukan juga pastinya lebih tinggi dengan kehadirannya.

“Apapun, dia tidak akan bermain dalam perseorangan lelaki tapi akan digandingkan dengan pemain wanita dari China, Zhao Yunlei, dalam perlawanan itu,” tambahnya.

Selain itu, Kim Hock juga berkata pasukannya akan menurunkan barisan pemain terbaik dalam baki dua perlawanan kerana pungutan mata pasukannya belum selamat untuk layak ke Genting Highlands bagi peringkat kalah mati nanti.

“Kami akan letakkan pemain terkuat apabila menentang KB Ampang Jaya, jadi peluang pastinya lagi besar untuk menang dan mencapai sasaran berada dalam kelompok enam pasukan teratas liga musim ini, sekaligus layak ke peringkat seterusnya,” ujarnya selepas menang bertemu KB Bangsar Hawks semalam.

KB Petaling akan bertemu KB Puchong United terlebih dahulu hari ini jam 8 malam dan Sabtu ini pada waktu yang sama, mereka akan membuat perhitungan terakhir SSPL peringkat round robin bertemu KB Ampang Jaya.

Venue perlawanan adalah di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras.