Chong Wei tidak sabar tambah koleksi gelaran

By Ammar Hakim 14 March 2017
Chong Wei tidak sabar tambah koleksi gelaran

Kejayaan menjuarai gelaran Seluruh England buat kali keempat dalam kariernya meningkatkan lagi motivasi Datuk Lee Chong Wei untuk menambah koleksi kejuaraan dalam saingan Siri Super Premier Terbuka Malaysia bulan hadapan.

Chong Wei meraih gelaran sulung tahun 2017 selepas mengungguli Seluruh England dengan menewaskan pemain muda China, Shi Yu Qi.

Lantas, ia memberikan motivasi terbaik buat pemain berusia 34 tahun ini untuk memenangi Terbuka Malaysia buat kali ke-12.

Sebelum Terbuka Malaysia, Chong Wei juga dijadual untuk beraksi dalam Kejohanan Terbuka India hujung bulan ini.

“Saya kembali ke Malaysia untuk menjalani latihan ringan, kemudian saya akan memberikan fokus kepada kejohanan di India dan Terbuka Malaysia.

"Saya berharap dapat melakar kemenangan ke-12 dalam Terbuka Malaysia,” katanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi tadi.

Chong Wei mengkui masih tidak berada di tahap terbaik semasa saingan Seluruh England, namun tidak menjadikan itu sebagai halangan dan ia telah pun dibuktikan dengan kejayaan memenangi gelaran itu buat kali keempat.

“Saya masih berasakan semangat juang saya masih lagi membakar, saya mahu terus bermain badminton kerana ia adalah sukan yang saya cintai.

"Jika sudah tiba masanya, saya akan bersara.  Buat masa ini, saya akan cuba yang terbaik untuk diri sendiri, untuk negara saya, saya akan terus berjuang.”

About Author

Ammar Hakim

Comment