Chong Wei tetap positif biarpun tersingkir awal di Dubai

By Shaiful Shamsudin 17 December 2016
Chong Wei tetap positif biarpun tersingkir awal di Dubai
Datuk Lee Chong Wei tetap mahu memandang kempen kejohanan Final Siri Super di Dubai sebagai sesuatu yang positif, meskipun gagal dalam misi memburu kejuaraan. 

Keghairahan memuncak sebelum Chong Wei mengerah keringat di gelanggang apabila dinobatkan sebagai Pemain Lelaki Terbaik Persekutuan Badminton Dunia (BWF) buat kali kelima di Dubai. 

Namun, realiti hampir dua bulan tanpa aksi kompetitif susulan pemulihan kecederaan kembali menghantui Chong Wei yang menyaksikannya tewas dalam aksi pertama peringkat kumpulan kepada Son Wan Ho. 

Menang perlawanan kedua ke atas Angus Ng Ka Long, Chong Wei perlu menang dalam pertembungan penentuan menentang Viktor Axelsen. 

Bukan sahaja perlu menangani kekalahan, Chong Wei juga menyaksikan rekod sembilan perlawanan tanpa kalah kepada Axelsen lebur begitu sahaja apabila ditundukkan 14-21, 21-14, 21-19. 

"Sesuatu yang bagus sejak ketibaan saya di sini. 

"Ini mungkin kekalahan pertama saya kepada Viktor dan saya perlu terima hakikat ini kerana pasti ada pihak yang menang dan kalah. 

"Saya perlu fokus untuk mengembalikan rentak permainan saya selepas ini," katanya. 

Setidak-tidaknya, Chong Wei berasakan 2016 tetap musim yang baik, di sebalik kekalahan itu dengan dia dijangka mengekalkan status sebagai pemain nombor satu dunia. 

"Saya pun tak sangka dapat rebut gelaran nombor satu dunia semula. 

"Selepas isu doping, saya hanya mensasarkan untuk menduduki kelompok 10 terbaik. Saya harap boleh kekalkannya dengan lebih lama lagi."

Bagi Axelsen, dia amat menghormati seterunya itu dan mengakui banyak menonton aksi Chong Wei sebelum dia muncul antara pemain yang sedang meningkat naik. 

"Kemenangan ke atas Chong Wei adalah keputusan yang mengejutkan.

"Saya masih tidak faham bagaimana saya boleh menang dan melakukannya.

"Buat masa ini, saya sangat gembira dan ingin menikmati kejayaan ini," katanya. 
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment