Pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, menyifatkan dirinya lebih tenang bagi menghadapi Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow kali ini berbanding edisi-edisi sebelumnya.

Buat kali pertama selepas 10 percubaan untuk merealisasikan impian, jaguh negara ini berasakan dia bebas daripada sebarang tekanan.

"Saya tidak akan rugi apa-apa selepas mencuba beberapa kali.

"Saya bertolak lebih awal dan mempunyai lima hari lagi untuk membuat persiapan.

"Tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Yang penting, saya perlu memberikan fokus kepada acara saya.

"Saya sudah mengetahui siapa bakal menjadi halangan di sana, saya akan berbincang dengan jurulatih mengenai persiapan taktikal sahaja," katanya.

Skuad kebangsaan diketuai Chong Wei di samping beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, berlepas ke Glasgow awal pagi tadi.