Bintang badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, disahkan menarik diri daripada Kejohanan Terbuka China yang akan membuka tirai pada 15 November ini bagi memberi tumpuan kepada proses pemulihan kecederaan.

Walaupun sudah pulih daripada kecederaan hamstring ketika bersaing di Terbuka Perancis, Oktober lalu, Chong Wei enggan mengambil risiko.

Baginya, tiada apa yang mahu dikejarkan lagi pada baki saingan tahun ini kerana matlamat utamanya adalah Kejohanan Dunia di Glasgow tahun hadapan.

Penarikan diri daripada Terbuka China dilihat satu keputusan yang tepat kerana dia tidak mahu terburu-buru sehingga kecederaannya mungkin berulang.

"Saya sudah menarik diri daripada Terbuka China, jadi saya akan melihat sama ada kecederaan saya sempat pulih atau tidak.

"Jika pulih, saya akan beraksi di Terbuka Hong Kong dan jika tidak, mungkin untuk tahun ini saya hanya akan beraksi di Siri Super Dubai bulan depan," jelasnya.

Chong Wei juga ternyata tidak gusar dengan kedudukan ranking kejohanan akhir Siri Super di Dubai, Disember depan.

Mengikut kedudukan terkini yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk Siri Super Dubai , Chong Wei kini menduduki tangga kelima.

Namun, dia kemungkinan dipintas oleh pemain di tangga keenam dan ketujuh, Angus Ng Ka Long dan Viktor Axelsen, kerana penarikan diri daripada saingan Terbuka China dan sekiranya turut menarik diri daripada Terbuka Hong Kong.

"Saya masih akan menduduki di antara kelompok lapan terbaik dunia. Pada saya, kejohanan akan datang ini tidak terlalu penting untuk saya."