Pemangku Presiden, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid, berharap Datuk Lee Chong Wei dapat memberi fokus untuk muncul juara dalam Kejohanan Seluruh England, 7-12 Mac ini.

Al Amin gembira sandaran utama badminton negara itu akan berlepas ke Birmingham pada Sabtu ini setelah pulih daripada kecederaan lutut kirinya dan memperoleh lampu hijau daripada Institut Sukan Negara (ISN), hari ini.

Kecederaan tersebut dialami oleh Chong Wei pada bulan lalu di Akademi Badminton Kebangsaan.

Al Amin berkata kini sudah tiba masanya untuk Chong Wei memberikan sepenuh perhatian kepada kejohanan yang akan dilaluinya.

Mengenai masalah perselisihan di antara Chong Wei dan pengarah teknikal, Morten Frost, Al Amin berkata ia telah selesai dan tidak perlu diperbesar lagi.

“Satu perbincangan telah diadakan semalam bagi mewujudkan garis panduan apakah tanggungjawab (Morten) Frost dan apakah tanggungjawab baru yang diserahkan kepada Hendrawan (jurulatih skuad projek khas) dan Tey Seu Bock (penolong jurulatih).

“Ini untuk membolehkan persiapan Chong Wei ke Kejohanan Dunia akan lebih baik dan membolehkan kami memberikan sepenuh sokongan kepada Chong Wei mencapai matlamatnya,” katanya.

Mengulas lanjut isu tersebut, Al Amin menegaskan ia bukan sesuatu yang terlalu serius.

“Ia isu yang sengaja diperbesar sebagai reaksi kepada prestasi menurun Chong Wei sebelum ini. Yang pasti, sebagai profesional kita harus menerima hakikat bahawa kita kadang-kadang terpaksa bekerja dengan orang yang kita tidak suka,” katanya.

Al Amin ditemui dalam sidang media bagi mengumumkan Kejohanan Celcom Axiata Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Perpaduan di Kuching, Sarawak pada 4 Mac depan.

Dalam sidang media itu yang dipengerusikan Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, seramai 351 pemain akan menyertai kejohanan tersebut, yang menawarkan habuan tunai USD600,000.