Jaguh perseorangan lelaki badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, serta gandingan terjun, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong, dipilih sebagai Olimpian Terbaik Tahunan 2016.

Pemilihan itu merupakan antara agenda yang diputuskan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam mesyuarat lembaga eksekutif di Wisma MOM, hari ini.

Menurut Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar, pencapaian Chong Wei meraih pingat perak dalam tiga temasya sukan Olimpik berturut-turut menjadikan dia pilihan berbanding gandingan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Pandelela serta Jun Hoong mencipta sejarah tersendiri dengan meraih pingat perak pertama dalam acara terjun di pentas Olimpik bagi acara 10 meter platform seirama.

Tarikh bagi penyampaian anugerah berkenaan, bagaimanapun, belum ditetapkan MOM.

"Datuk Lee Chong Wei dari sukan badminton manakala gandingan terjun, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong telah dipilih," kata Tunku Imran.

Dalam pada itu, MOM turut berpuas hati dengan perjalanan Program Kita Juara yang merupakan persiapan atlet negara untuk menghadapi Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Jawatankuasa pemilihan atlet akan memutuskan senarai berikutnya pada Mac depan berdasarkan prestasi semasa setiap atlet.

Tunku Imran, bagaimanapun, memberi amaran bahawa atlet yang berada di dalam Program Kita Juara tidak boleh mudah berasa selesa kerana mereka boleh digugurkan andai tidak mencapai tahap yang diharapkan.

"Jawatankuasa pemilihan Sukan SEA 2017 akan mengadakan pengguguran pertama atlet di bawah Program Kita Juara pada Mac nanti," tambahnya.