Pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, menepati ramalan mara ke pusingan ketiga Terbuka Denmark selepas mengatasi lawan dari Hong Kong, Wei Nan.

Chong Wei menang 16-21, 21-19, 21-11 dalam tempoh satu jam.

Turut menemani pemain berusia 33 tahun itu ke pusingan seterusnya ialah jaguh beregu lelaki negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong.

Beregu yang menduduki ranking ketujuh dunia itu terpaksa menempuh tiga set sebelum menang 21-18, 18-21, 21-18 ke atas pasangan China, Liu Cheng dan Zhang Nan.

Beregu wanita negara, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei, turut mengesahkan slot ke pusingan ketiga selepas mengetepikan cabaran pasangan Korea Selatan, Kim Hye Rin dan Won Yoo Hae 6-21, 21-19, 21-16.

Beregu campuran yang semakin mempamer peningkatan, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing, meneruskan kecemerlangan apabila menumbangkan gandingan New Zealand, Oliver Leydon-Davis dan Gronya Somerville, 23-21, 21-9.

Dalam perkembangan lain, misi Iskandar Zulkarnain untuk memperbaiki aksi hambar di Terbuka Korea bulan lalu tidak kesampaian apabila dia tewas kepada pilihan kelapan dari England, Rajiv Ouseph.

Pemain berusia 25 tahun itu tewas 8-21, 21-17, 17-21 dalam tempoh kurang sejam.

Turut mengalami nasib sama, dua pemain profesional negara, Zulfadli Zulkifli dan Chong Wei Feng.

Zufadli kecundang 22-20, 12-21, 14-21 berdepan Brice Leverdez dari Perancis manakala Wei Feng tewas kepada wakil India, Prannoy H.S 13-21, 21-19, 20-22.