Chong Wei kembali bersama kem kebangsaan

By Staff Writer 10 September 2019 326
Chong Wei kembali bersama kem kebangsaan
Setelah tiga bulan bersara, bekas jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei, sedia untuk kembali ke pangkuan kem kebangsaan dalam usahanya membantu barisan kejurulatihan sedia ada bagi menaikkan prestasi skuad perseorangan lelaki serta barisan pemain remaja.

Biarpun dalam tempoh persaraan, Chong Wei masih aktif mengikuti perkembangan badminton negara, khususnya prestasi Lee Zii Jia yang dilihat kurang konsisten.

Justeru, beliau akan cuba duduk semeja dengan jurulatih, Hendrawan, dalam mencari tonik terbaik untuk membantu Zii Jia meneruskan legasinya dalam skuad perseorangan lelaki.

Tegas Chong Wei, kehadiran semulanya di Akademi Badminton Malaysia bukanlah sebagai jurulatih, namun sebagai bekas pemain untuk berkongsi pengalaman dan idea bersama barisan pemain muda negara.

"Kami berbincang untuk memperkembangkan lagi mutu barisan pemain daripada peringkat remaja. Itu keutamaan untuk masa depan badminton negara," katanya.

Chong Wei turut menawarkan pandangan mengenai jadual Zii Jia yang terlampau padat sejak Januari lalu dalam usaha mengumpul mata kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dilihat memberi kesan terhadap faktor kecergasan pemain muda itu.

"Saya juga telah bertemu dengan Hendrawan mengenai jadual padat yang diharungi Zii Jia. Saya berasakan dia agak keletihan untuk mengekalkan mutu permainan terbaik."
 

About Author

Staff Writer

Comment