Datuk Lee Chong Wei menzahirkan kekecewaannya terhadap perkembangan pemain muda negara berbanding China, yang tidak menampakkan sebarang tanda gusar dalam melahirkan pengganti dua ikonnya, Chen Long dan Lin Dan.

Chong Wei, yang kekal sebagai harapan tunggal Malaysia di pentas tertinggi perseorangan elit dunia, berupaya untuk bangkit memenangi Siri Super Terbuka Jepun selepas duka di Sukan Olimpik Rio.

China yang merehatkan Chen Long dan Lin Dan selepas Olimpik Rio, bagaimanapun, berupaya tersenyum lebar apabila perseorangan berusia 23 tahun, Qiao Bin, mengungguli Siri Super Terbuka Korea Selatan, baru-baru ini.

Perbezaan ketara buat Malaysia, yang masih mengharapkan kudrat sang veteran, sambil bakat muda berterusan dibelenggu tekanan untuk meneruskan legasinya.

"Ada masanya saya bermain bersama pemain muda. Apabila mereka mula berasa penat, mereka akan mengalah dan tidak mahu mengejar bola. Saya berkata kepada mereka, sewaktu perlawanan, kamu perlu memberikan tentangan, tidak boleh mengalah.

"Jika semasa latihan kamu terus memberikan tentangan walaupun keletihan, dalam perlawanan sebenar nanti walaupun keletihan, kamu tidak akan mempunyai masalah untuk terus berlawan.

"Itu apa yang telah saya pelajari sewaktu saya mula bermain badminton, ilmu yang dikongsikan oleh Wong Choon Han dan Ong Ewe Hock.

"Saya berpeluang untuk berlatih bersama senior saya dan ia cukup menggembirakan untuk saya. Berbeza dengan pemain muda sekarang, apabila berlatih bersama saya, mereka tidak menunjukkan kemahuan yang tinggi," katanya.

Chong Wei juga berasakan tidak ada penyesalan buat dirinya sekiranya terbit keperluan untuk bersara.

Tetapi, ia mengagumkan apabila dia menjadikan kegagalan untuk bergelar juara dunia, sebagai kemahuan utama untuk terus berjuang -- sesuatu yang tidak ada pada perseorangan muda negara meskipun memiliki Chong Wei sebagai sandaran inspirasi.

"Saya masih mahu bermain badminton kerana saya berasakan saya masih boleh bermain lagi dan mungkin kerana saya belum mencapai sasaran saya lagi. Saya seperti pemain yang lain, mula berlatih pada pukul 7.00 pagi dan berlatih bersama-sama mereka.

"Coach memberikan latihan yang sama kepada saya dan saya tidak pernah berkata tidak, tidak memberikan alasan keletihan atau apa jua alasan, dari situ anda boleh melihat kemahuan saya.

"Umur saya makin meningkat, saya mungkin lapan atau 10 tahun lebih tua daripada pemain lain dan paling senior. Tetapi anda perlu menyedari jika saya mahu berhenti daripada bermain badminton pada waktu ini, saya boleh melakukannya."