"Saya harap dapat jumpa penyokong Malaysia di Birmingham sekali lagi tahun depan," demikian kata Datuk Lee Chong Wei sebaik merangkul kejuaraan keempat dalam Kejohanan Seluruh England selepas menewaskan pemain muda China, Shi Yuqi dalam final, malam ini.

Tiga belas tahun menjadi pemisah usia mereka -- Chong Wei, 34, dan Yuqi, 21 -- dengan pengalaman jelas menjadi kelebihan jaguh Malaysia itu untuk meraih antara kemenangan paling berat sebelah dalam sejarah final Seluruh England.

Malah, peminat di Barclaycard Arena, Birmingham lebih menjangkakan pertemuan dua musuh ketat, Lin Dan dan Chong Wei, dalam menentukan juara perseorangan lelaki dalam edisi kali ini tetapi Yuqi mempunyai idea berbeza -- dia menyingkirkan Super Dan 24-22, 21-11 dalam separuh akhir, semalam.

Maka, tampillah dua calon akhir di luar jangkaan dan ternyata kegugupan dan mentah pengalaman menidakkan pemain di ranking nombor 10 dunia daripada mengulangi sebarang kejutan.

Turun selaku pemain no.1 dunia dan pilihan utama kejohanan, Chong Wei tidak berdepan masalah untuk menang set pertama 21-12 dalam masa hanya 18 minit.

Memasuki set kedua, kehebatan Chong Wei sukar untuk dikekang bagi mengesahkan kejuaraan miliknya dengan menang 21-10.

Ini merupakan kejuaraan keempat Chong Wei di Birmingham selepas menjuarai edisi 2010, 2011 dan 2014.

"Seluruh England adalah kejohanan 'favourite' saya. Saya akan tampil dalam Kejohanan Dunia di Glasgow, Ogos nanti dan harap untuk kembali pertahankan kejuaraan di sini tahun depan," katanya dalam temubual di atas gelanggang selepas selesai perlawanan.