Bagi menghadapi final Siri Super Dubai yang berlangsung pada Disember ini, misinya berbeza buat dua wakil negara, Datuk Lee Chong Wei, yang mengidam untuk meraih gelaran kelimanya sementara beregu lelaki, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong mahu melakukan kejutan dalam penampilan pertama mereka.

Sebelum ini, segalanya tampak sukar untuk Chong Wei layak ke final Siri Super, dengan kecederaan yang melanda dirinya di samping kedudukannya yang mampu dipintas pemain lain.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengesahkan Chong Wei layak secara merit dan secara tidak langsung meningkatkan lagi semangat pemain berusia 34 tahun ini mengejar kejuaraan kelimanya.

Chong Wei pernah merangkul kejuaraan final Siri Super bermula tahun 2008, 2009, 2010 dan 2013.

"Saya tidak memikirkan siapakah lawan yang menanti saya kerana saya telah menyediakan diri saya untuk bertemu dengan lawan yang paling sukar.

"Semua yang beraksi dalam Siri Super akhir nanti merupakan pemain yang terbaik dan jangan memandang rendah kepada semua lawan.

"Kami mempunyai masa lebih kurang satu minggu lagi, kami perlu melakukan persiapan yang terbaik dan beraksi dengan cemerlang," jelas Chong Wei.

V Shem dan Wee Kiong pula menyedari tanggungjawab yang dipikul meskipun ini adalah penampilan pertama mereka di pentas final Siri Super.

Tahun 2016 diibaratkan tahun gemilang buat mereka -- selain menggondol pingat perak Sukan Olimpik, mereka juga sudah memperoleh dua kejuaraan di Terbuka Denmark dan Masters India.

"Jadual begitu padat, kami tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan secukupnya seperti yang kami lakukan untuk perlawanan di Olimpik.

"Ia juga merupakan cabaran untuk kami. Saya berasa bukan hanya pemain Malaysia yang mengalami masalah ini tetapi seluruh dunia.

"Tiada apa yang boleh kami lakukan, hanya memberikan persembahan yang terbaik," ujar Wee Kiong.