Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, mahu memberikan fokus kepada aksi lebih bertenaga untuk musim 2017, di sebalik bakal berdepan kemerosotan ranking dunia.

Kecederaan hamstring yang dialami ketika Siri Super Premier Terbuka Denmark bulan lalu, mengakibatkan Chong Wei terpaksa melupakan tiga kejohanan berikutnya.

Ia termasuk Terbuka Perancis, Terbuka China yang sedang berlangsung ketika ini dan juga Terbuka Hong Kong minggu hadapan, di samping peluangnya beraksi dalam Siri Super Akhir Dubai hujung tahun nanti, masih belum pasti.

Situasi itu jelas bakal menjejaskan kedudukan Chong Wei dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF), namun ia tidak menggusarkan pemain berusia 33 tahun itu.

"Saya mahu lebih fokus kepada tahun hadapan kerana saya tahu apa yang saya mahukan. Saya mungkin tidak akan menyertai beberapa kejohanan untuk memberikan fokus kepada kejohanan yang lebih besar dan penting.

"Tahun hadapan saya akan lebih fokus kepada Piala Sudirman dan Kejohanan Dunia, itu merupakan kejohanan yang lebih penting.

"Pertamanya, ia adalah kejohanan berpasukan dan keduanya ia untuk diri saya sendiri beraksi di Kejohanan Dunia," katanya.

Dalam pada itu, Chong Wei turut berasakan gandingan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, masih belum mampu menyerap tekanan susulan kecundang awal di Terbuka China, semalam.

V Shem-Wee Kiong, yang baru meraih ranking nombor satu dunia Khamis lalu, tewas kepada gandingan tuan rumah, Zhang Nan-Liu Cheng, 19-21, 21-16, 24-22, dalam pusingan pertama kejohanan itu.

"Ia adalah perkara biasa kerana mereka bukan tewas 'straight set', tetapi kalah dalam set penentuan dengan 24-22.

"Kini mereka adalah beregu nombor satu dunia, tekanan pastinya tinggi untuk mereka dan saya mengharapkan mereka bakal kembali lebih kuat selepas ini."

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu berkata demikian ketika ditemui ketika menghadiri sesi pra-latihan pusat Kem Badminton Astro di Kuala Lumpur, hari ini.

Seramai 29 peserta akhir yang terpilih berpeluang untuk mendapatkan tunjuk ajar daripada Chong Wei, sebelum mereka berlepas ke Jepun untuk program lanjutan intensif bermula 16 hingga 19 November ini.