Pemenang pingat perak tiga kali berturut-turut acara badminton perseorangan lelaki dalam Sukan Olimpik, Datuk Lee Chong Wei, dinobatkan sebagai Atlet Terbaik SAM dalam Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2016, malam ini.

Pemain berusia 34 tahun itu menewaskan enam calon lain, iaitu gandingan Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong (terjun), Goh V Shem-Tan Wee Kiong (badminton), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (badminton), Azizulhasni Awang (berbasikal), Mohd Al-Jufferi Jamari (silat) dan pelumba Moto3, Khairul Idham Pawi.

Anugerah berkenaan merupakan yang kedua bagi pemain ranking nombor satu dunia itu selepas memenangi anugerah yang sama pada 2008.

Selain pingat perak Sukan Olimpik, Chong Wei turut memenangi beberapa kejohanan badminton sepanjang tahun 2016.

Selepas penggantungan selama lapan bulan akibat penggunaan bahan terlarang, Chong Wei kembali menerajui ranking nombor satu dunia pada 9 Jun tahun lalu selepas memenangi Terbuka Indonesia untuk kali keenam berturut-turut.

Sementara itu, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi pula menjadi penerima sulung Anugerah Atlet Paralimpik Terbaik SAM selepas memahat sejarah buat Malaysia pada 10 September tahun lepas apabila meraih pingat emas pertama kontinjen Paralimpik negara dalam acara 100m T36 lelaki.

Dalam tahun yang sama, atlet kelahiran Perlis itu turut memenangi pingat emas dalam Kejohanan Olahraga IPC Terbuka China dan Kejohanan Olahraga IPC Asia Oceania.

Kedua-dua mereka masing-masing menerima trofi dan wang tunai RM10,000 yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Atlet terjun cilik, Nur Dhabitah Sabri, 17, pula dipilih sebagai penerima Anugerah Atlet Muda Terbaik selepas aksi konsisten dan cemerlang pada penampilan pertamanya untuk mara ke peringkat akhir acara 10m platform wanita dalam Sukan Olimpik Rio.

Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dipilih sebagai penerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik berdasarkan beberapa faktor, iaitu kejayaan atletnya meraih pingat dalam setiap kejohanan, kredibiliti kepimpinan dan kegigihan mempertingkatkan mutu sukan silat di negara ini.

Dalam majlis anugerah itu juga, Megat Syafique Syazwan Mohd Khairul, pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil, dipilih sebagai Pemain Terbaik Liga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tahun 2016.


Senarai penuh pemenang:


Atlet Terbaik: Datuk Lee Chong Wei (Badminton)

Atlet Paralimpik Terbaik: Mohamad Ridzuan Mohd Puzi (Olahraga)

Atlet Muda Terbaik: Nur Dhabitah Sabri (Terjun)

Persatuan Sukan Dinamik: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia

PemainTerbaik Liga KPM 2016: Megat Syafique Syazwan Mohd Khairul