Datuk Lee Chong Wei bakal dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira selepas tersenarai sebagai penerima darjah dan bintang kebesaran Melaka.

Pemain badminton nombor satu negara itu mengetuai senarai ahli serta bekas jaguh sukan tempatan yang bakal menerima anugerah sempena Sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, esok.

Sementara itu, bekas raja pecut Asia, Rabuan Pit, yang juga anak kelahiran Melaka, turut menerima pengiktirafan apabila menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.

Ketua pasukan Melaka United, Ilija Spasojevic, selaku penjaring terbanyak Liga Perdana, yang berjaya membawa nama pasukan bola sepak Melaka ke persada juara Liga Perdana akan menerima Bintang Cemerlang Melaka (BCM).

"Saya mengucapkan tahniah kepada ahli sukan yang terpilih menerima anugerah kebesaran negeri kali ini," kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Naim Abu Bakar.

Beliau berkata anugerah berkenaan adalah sebagai menghargai jasa mereka yang berjuang membawa nama Melaka dan Malaysia ke peringkat tertinggi dalam bidang sukan.

Katanya, anugerah itu juga mampu memberi semangat kepada ahli sukan yang lain untuk terus beraksi cemerlang, sekali gus membawa kejayaan demi negeri dan negara tercinta.