Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, tidak menafikan tekanan lebih memuncak buat dirinya untuk menamatkan penantian bergelar juara dunia tahun ini.

Di sebalik kecederaan lutut kiri yang dialaminya di samping tidak berada pada tahap terbaik, Chong Wei membuktikan kemampuan dengan menjuarai Kejohanan Seluruh England buat kali keempat, kelmarin.

Beberapa lagi pertandingan akan disertainya selepas ini dan sudah pasti tumpuan utama terarah kepada Kejohanan Dunia di Glasgow, 21-27 Ogos depan.

Nyata, pemain berusia 34 tahun itu mengakui perlu mengelak daripada berasa tertekan untuknya mencapai impian bergelar juara dunia.

"Ini kerana saya sudah menang Seluruh England sebanyak empat kali.

"Mungkin saya belum pernah memenangi Kejohanan Dunia, saya berasakan tekanan lagi tinggi untuk saya.

"Macam mana untuk menangani tekanan ini, itu yang penting untuk saya tahun ini," ujarnya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam pada itu, pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid, berpandangan Chong Wei masih berpeluang untuk menambah lebih banyak koleksi kejuaraan.

Chong Wei sebelum ini berjanji untuk kembali menyertai saingan Seluruh England tahun hadapan, sekaligus membuka kemungkinan dia masih berupaya untuk meneruskan karier walaupun ramai menjangkakan 2017 mungkin tahun terakhir buat dirinya sebelum bersara.

"Dia masih berkobar-kobar untuk meraih kemenangan, Insya-Allah dia mampu beraksi selama beberapa tahun lagi.

"Dia boleh memilih kejohanan mana yang ingin disertainya.

"Saya fikir dari segi Siri Super, dah tak ada apa yang nak dikejarnya, tetapi Chong Wei agak luar biasa dalam konteks apa yang dia mahukan," katanya.