Timbalan Presiden, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, memberi jaminan Datuk Lee Chong Wei akan terus kekal bersama BAM walaupun pemain itu tidak menolak kemungkinan akan keluar selepas keretakan hubungan dengan pengarah teknikal, Morten Frost.

"Malam tadi, saya sudah mendapat penyataan komitmen daripada Chong Wei. Dia tidak akan meninggalakan BAM," katanya.

"Apa yang berlaku di antara Frost dan Chong Wei adalah salah faham. Isu ini berkait rapat dengan anggapan masing-masing," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) BAM, hari ini.

Norza yang turut mengadakan pertemuan berasingan dengan Frost, berkata kedua-duanya bersetuju untuk melakukan penstrukturan semula barisan kejurulatihan pemain perseorangan.

"Berdasarkan daripada respons yang saya terima daripada kedua-dua individu, ia berkait dengan bagaimana untuk menangani bahagian perseorangan.

"Bagi saya, bahagian lain berjalan dengan cukup baik tetapi dalam aspek perseorangan, ia lebih terarah kepada bagaimana untuk menjaga Chong Wei di samping mencari pelapis," tambah Norza.

Sekalipun Chong Wei dan Frost tidak lagi sehaluan, Norza optimis mereka mampu bersikap profesional dengan memberi keutamaan kepada badan induk badminton negara itu.

Semalam, Chong Wei memberi gambaran mahu keluar daripada BAM selepas mendakwa sukar bekerjasama dengan Frost.

Perang dingin di antara Chong Wei dengan Frost bermula selepas pemain itu mengalami kecederaan lutut ketika menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia, dua minggu lalu.

Chong Wei menyalahkan BAM kerana tidak menghiraukan aduannya sebelum itu mengenai permukaan gelanggang baru yang licin di akademi itu.

Bagaimanapun, isu utama adalah kelantangan Chong Wei yang mempersoalkan kenyataan Frost yang menyentuh mengenai persaraannya kepada jurulatih perseorangan, Hendrawan.