MALAYSIA 0 CHINA 3

China terlalu ampuh untuk Malaysia meneruskan kempen di Vietnam apabila tunduk kepada kuasa besar itu 0-3 dalam saingan suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia di Bandaraya Ho Chi Minh, malam ini.

Peluang buat skuad negara tidak dinafikan tipis tatkala membariskan pemain pelapis berbanding China yang mempertaruhkan pemain handalan dan digeruni di peringkat antarabangsa.

Tetapi Malaysia tetap melangkah masuk ke gelanggang dengan membawa sedikit keyakinan untuk mencipta kejutan, dengan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai membuka tirai pertemuan.

Pasangan negara itu hampir menemui rentak berdepan Chen Qingchen-Zhang Nan, bagaimanapun, terpaksa akur tewas, 14-21, 9-21.

Cabaran seterusnya dipikul perseorangan lelaki, Lim Chi Wing, yang turut bergelut menentang Shi Yuqi -- hanya 32 minit diperlukan Yuqi untuk China menjadikan kedudukan 2-0 hasil kemenangan 21-7, 21-14.

Keputusan itu, bagaimanapun, tidak melunturkan semangat beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani, yang berupaya memberi tentangan sengit untuk mengheret perlawanan ke aksi tiga set sebelum tewas, 21-19, 20-22, 10-21.

"Sebelum perlawanan memang teruja kerana dapat bertemu mereka (China) tetapi apabila masuk ke gelanggang, boleh rasa perbezaan di antara pemain nombor satu dan kami. Bagaimanapun, kami gembira kerana dapat bermain dengan mereka," kata Shevon.

"Mereka lebih konsisten daripada kami. Mereka pun lebih pantas daripada kami. Saya akur dengan kekalahan ini," kata Soon Huat.

Keputusan itu menamatkan cabaran Malaysia di Vietnam.