Reputasi sebagai juara kebangsaan tidak menambah tekanan buat pemain perseorangan negara, Lim Chi Wing, dalam usaha memperbaiki pencapaian menjelang Kejohanan Grand Prix (GP) Emas Masters Malaysia di Sibu, minggu hadapan.

Karier Chi Wing berada di landasan tepat untuk terus maju ke hadapan selepas menjuarai Kejohanan Kebangsaan, Disember lalu.

Mengakui 2017 bakal menjadi tahun penentu kemampuan dirinya, Chi Wing menyasarkan untuk memperbaiki persembahan dalam pertandingan bertaraf GP Emas.

Pencapaian terbaiknya sebelum ini hanya mara ke pusingan kedua Masters Thailand, tahun lalu.

"Saya tak fikir banyak. Saya cuma nak buat yang terbaik dan apa yang terdaya selangkah demi selangkah.

"Sekarang masa untuk membuat persiapan. Minggu ini dan minggu lepas pun kami menjalani latihan dengan baik.

"Saya sudah bersedia untuk saingan minggu depan.

"Saya akan berdepan cabaran besar dalam pusingan pertama di Sibu bertemu dengan Cristie Johnathan yang berada di ranking agak tinggi," katanya.

Dalam pada itu, jurulatih perseorangan, Hendrawan, menaruh keyakinan tinggi buat wakil negara untuk mencipta kejutan dalam kejohanan itu.

Malah, ketiadaan juara bertahan dan juga jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, seharusnya memberi peluang buat pemain-pemain lain untuk membuktikan kemampuan.

"Kita mempunyai hampir sembilan wakil dan kebetulan bermain di tempat sendiri.

"Saya harap mereka dapat memberikan yang terbaik, terutamanya empat pemain ini, Lim Chi Wing, Choong Yee Han, Soo Teck Zhi dan Soong Joo Ven.

"Saya harap kali ini, perkara pertama adalah pemain menunjukkan peningkatan dan yang kedua, mereka dapat mencipta kejutan ke atas pemain utama serta mara ke separuh akhir," ujar Hendrawan.