Juara perseorangan lelaki kebangsaan 2016, Lim Chi Wing, memandang kepada Iskandar Zulkarnain Zainuddin sebagai inspirasi untuk menawan 2017.

Waktu pasca musim 2016 tidak menjadi penghalang buat Chi Wing untuk terus berlatih bersama seorang lagi prospek remaja negara, Lee Zii Jia.

Seperti Chi Wing sebelumnya, Iskandar muncul juara kebangsaan 2015 sebelum menjadikan 2016 sebagai tahun dia mengukuhkan statusnya sebagai perseorangan nombor dua negara.

Penampilan dalam Piala Thomas dan separuh aksi Siri Super Premier China, antaranya, menjadi rujukan buat Chi Wing untuk terus mengorak langkah.

"Saya agak gembira dan bangga kerana muncul juara kebangsaan buat kali pertama.

"Tapi saya tidak akan memberi banyak tekanan kepada diri sangat.

"Sasaran peribadi saya adalah untuk memasuki kelompok 60 pemain terbaik dunia," katanya.

Buat Chi Wing, tiada pengalaman lebih berharga bagi perseorangan lelaki negara daripada berpeluang berlatih bersama Datuk Lee Chong Wei.

Kesempatan itu menjadi idaman Chi Wing untuk mencuri perhatian Chong Wei agar memberikan dia minit tambahan ketika sesi latihan pusat bersama.

"Agak penting kerana Datuk Lee Chong Wei banyak memberi arahan dan taktik bermain.

"Kualiti bola yang diberikannya mestilah bagus."