Chee Tean-Wee Gieen selesa berlatih bersama Rosman

By Ammar Hakim 4 January 2017
Chee Tean-Wee Gieen selesa berlatih bersama Rosman

Pemain beregu lelaki negara, Tan Chee Tean dan Tan Wee Gieen, selesa dengan kehadiran jurulatih, Rosman Razak selepas dua hari berlatih di bawah bimbingannya.

Rosman memulakan tugas pertamanya pada Isnin membimbing dua pasangan beregu negara, Chee Tean-Wee Gieen dan Low Juan Shen-Chooi Kah Ming.

Meskipun baru dua hari, Chee Tean berasakan bekas jurulatih beregu wanita lima tahun lalu itu mampu memberikan magis terbaik dalam mendidik mereka untuk berada di tahap tertinggi pada tahun baru ini.

Masih terlalu awal untuk menilai, Kejohanan Masters Malaysia di Sibu, Sarawak pada 17 Januari ini diharap mampu membuktikan sesuatu buat pasangan beregu itu.

"Ini merupakan kali pertama saya berlatih bersama jurulatih, Rosman. Setakat ini saya sangat selesa dan semakin menyesuaikan diri dengan cara latihannya.

"Selepas berbincang dengannya tempoh hari, saya yakin mampu mempertingkatkan mutu permainan saya," kata Chee Tean.

Sempena tahun baru, Wee Gieen yang kurang berpuas hati dengan pencapaiannya tahun lalu bertekad mahu memperbaiki rankingnya bersama Chee Tean yang kini di kedudukan ke-58 dunia untuk berada sekurang-kurangnya dalam kelompok 30 terbaik.

"Kami baru menjalani latihan semula selepas berehat sempena Tahun Baru. Kami mengambil selangkah demi selangkah untuk terus mempertingkatkan kualiti kami," jelas Wee Gieen.

About Author

Ammar Hakim

Comment