Cabaran Sathieshtharan berakhir dalam pusingan kedua

By Ammar Hakim 18 January 2017
Cabaran Sathieshtharan berakhir dalam pusingan kedua

Kemaraan perseorangan lelaki negara, R. Sathieshtharan, dalam Kejohanan GP Emas Masters Malaysia 2017 tersekat selepas dia kecundang dalam aksi pusingan kedua.

Selepas mengungguli pusingan pertama pada Selasa, pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting, menjadi halangan berikutnya buat Sathieshtharan.

Set pertama menyaksikan permainan seimbang dipamerkan kedua-dua pemain tetapi sedikit kesilapan membawa padah buat wakil negara itu.

Hasilnya, dia kecundang 14 berbalas 21 kepada Anthony dalam set berkenaan.

Sathieshtharan kemudian sedikit hilang punca pada awal set kedua, ketinggalan 1-7 kepada lawan dan ini memberikan kesukaran buatnya untuk mempamer kebangkitan.

Ketika dia mula menemui semula rentak, ia sudah terlewat apabila Anthony menutup pertemuan, juga menerusi kemenangan 21 berbalas 14.

“Saya gagal memberikan aksi yang cemerlang, banyak perkara yang saya dapat belajar daripada perlawanan ini. Lawan saya berjaya membaca rentak permainan lebih pantas daripada saya,” kata Sathieshtharan.

Sementara itu, pemain profesional, Chong Wei Feng meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga.

Bekas pemain kebangsaan ini tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan tentangan Henrikho Kho Wibowo dengan keputusan straight sets.

Tidak seperti aksi pusingan pertama berdepan Sony Dwi Kuncoro di mana Wei Feng terpaksa bertarung dalam tiga set, kali ini dia hanya memerlukan 36 minit untuk melakar kemenangan 21-15, 21-9 untuk berentap dengan Anthony dalam pusingan ketiga.

“Saingan saya pada hari ini lebih mudah berbanding semalam, jadi prestasi pada hari ini sangat baik, Cuma melakukan kesilapan di awal permainan sebelum saya memperkemaskannya, sekaligus memenangi perlawanan ini,” kata Wei Feng.

About Author

Ammar Hakim

Comment