Skuad negara menamatkan kempen Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Australia selepas dua pasangan yang menjadi harapan ke separuh akhir kecundang di peringkat suku akhir, hari ini.

Dalam acara beregu campuran, Chan Peng Soon dan Cheah Yee See tewas di tangan pasangan Indonesia, Praveen Jordan-Debby Susanto, 8-21, 17-21 manakala beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, kalah kepada pasangan China, Zhang Nan-Liu Cheng,21-14, 12-21, 15-21.

Yew Sin-Ee Yi bermula garang dengan mudah mendahului 5-0 untuk memberi tekanan kepada Zhang-Liu .

Zhang Nan, yang miliki reputasi hebat selaku pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio, gagal membantu pasangannya itu untuk bertahan dan Malaysia menang set pertama 21-14.

Bagaimanapun, Zhang Nan-Liu Cheng bangkit dalam set kedua, bermula dengan pendahuluan 6-0. Kali ini mereka tidak memberi peluang buat Yew Sin-Ee Yi bangkit untuk menang 21-12.

Saingan sengit berlangsung dalam set penentuan tetapi bermula di kedudukan 8-7, Zhang Nan dan Liu Cheng terus mengorak langkah untuk menang 21-15.

Sementara itu, Peng Soon dan Yee See turut berdepan perlawanan sukar menentang pasangan Indonesia, Praveen Jordan-Debby Susanto.

Mereka gagal memberikan tentangan dalam set pertama apabila mudah ditewaskan 8-21.

Bagaimanapun, Peng Soon dan Yee See bangkit dalam set kedua menerusi aksi terpuji sehingga mendahului 12-10.

Tetapi selepas kedudukan terikat 16-16, pasangan Indonesia itu terus mengorak langkah menuju mata terakhir untuk menang 21-17.

Peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Australia berlangsung esok, jam 11 pagi.