Pemain muda negara, Cheam June Wei, mengejutkan pilihan keenam, Ren Peng Bo, untuk merangkul kejuaraan perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia hari ini.

Pemain berusia 22 tahun itu, yang hanya menang sekali daripada tiga pertemuan terdahulu, membuktikan kredibiliti selaku antara bintang muda harapan negara dengan kemenangan 21-16, 19-21, 21-18 dalam tempoh 72 minit.

Pemain Malaysia di ranking ke-75 dunia itu yang dilatih Datuk Misbun Sidek, bermula baik dalam set pertama untuk menang 21-16, namun Peng Bo menemui rentak dan mula memberi tentangan yang menyaksikan perlawanan sengit disajikan kedua-dua pemain dalam babak seterusnya.

Sering mengejar mata hingga kepada kedudukan 18-18, June Wei melakukan beberapa kesilapan yang memberikan dua mata akhir kepada lawan bagi mengheret pertarungan ke set penentuan.

Tatkala kedua-dua pemain itu tidak memberi ruang antara satu sama lain, masing-masing rancak meraih mata tetapi kesilapan Peng Bo di penghujung set ketiga membolehkan June Wei menoktahkan kemenangan serta kejuaraan dengan keputusan 21-18.

"Semua orang sokong saya (beraksi di tempat sendiri). Namun, ia bukan perlawanan yang mudah kerana lawan saya (Peng Bo) bagus. Saya pernah kalah dan menang berdepan dia," katanya.

June Wei berkata selepas ini dia akan menyertai kejohanan Gwangju Korea Master 2019 bermula Selasa ini.

Sementara itu, Misbun memuji peningkatan prestasi dipamerkan June Wei dan beberapa pemain negara yang lain dalam kejohanan tersebut.

"June Wei masih muda dan perjalanan kariernya masih jauh. Apa pun, kami harap dia boleh pergi lebih jauh," katanya.