Nasib berbeza menimpa dua wakil negara, Soong Joo Ven dan Lee Ying Ying, dalam pertarungan pusingan kedua Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.

Saingan perseorangan lelaki menyaksikan Joo Ven turun berdepan pemain Taiwan, Hsueh Hsuan-yi, yang diletakkan sebagai pilihan ke-14.

Set pertama serba tidak menjadi buat Joo Ven -- yang juga pilihan ketiga -- apabila beberapa kali melakukan kesilapan mudah untuk memberikan mata kepada lawan yang meraih kemenangan 21-14.

Kebangkitan cuba dijelmakan wakil negara itu dengan permainan lebih kemas dalam set berikutnya sehingga dapat mendahului lawan pada pertengahan saingan.

Begitupun, rentak itu gagal diteruskan Joo Ven, sekali gus ditunjukkan jalan keluar dengan kekalahan 16-21.

"Saya memuji lawan saya kerana dia bermain sangat baik, terutama dalam aspek menyerang. Dia kemudian mengembangkan permainan dan semua perancangannya menjadi sehingga mendapat mata demi mata," kata Joo Ven.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara, Ying Ying, mencapai sasaran peribadi apabila meneruskan kemaraan ke suku akhir, sekali gus memberikannya lebih keyakinan dalam persiapan untuk menghadapi Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Wuhan, China, minggu depan.

Saingan pusingan kedua menyaksikan Ying Ying tidak mengalami sebarang kesukaran untuk mengetepikan tentangan pemain Thailand, Supanida Katethong.

Diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan, Ying Ying mempamerkan aksi lebih meyakinkan apabila memperoleh kemenangan 21-16 dalam set pertama.

Rentak cemerlang diteruskan pemain berusia 20 tahun itu apabila menutup pertemuan dengan keputusan 21-14 untuk mara ke suku akhir.

"Hari ini saya bermain lagi bagus berbanding semalam. Mungkin lawan hari ini lebih kuat daripada lawan semalam tetapi tahap keyakinan saya tetap tinggi untuk memenangi perlawanan ini," kata Ying Ying.