Aksi pusingan kedua Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia 2018 menyaksikan lima wakil negara mara ke suku akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara, sebentar tadi.

Tersingkirnya Soong Joo Ven pada aksi sebelah pagi menyaksikan tanggungjawab kini digalas Tan Jia Wei.

Lawan Jia Wei adalah pemain tidak ternama dari Azerbaijan, Ade Resky Dwicahyo, yang menghuni ranking ke-450 dunia.

Jia Wei mudah meraih kemenangan straight set 21-13, 21-11.

"Hari ini saya bermain lebih baik berbanding aksi semalam dan pusingan pertama. Saya hanya menampilkan persembahan biasa, ditambah dengan lawan yang tidak begitu kuat," ujar Jia Wei.

Wakil negara dalam acara perseorangan wanita menyaksikan M. Thinaah terkandas apabila ditunjukkan jalan keluar oleh pilihan kedua kejohanan, Dinar Dyah Ayustine dari Indonesia, dengan kekalahan 21-11, 21-15.

Sementara itu, dalam acara beregu lelaki, pasangan yang baru diserap masuk ke dalam skuad kebangsaan, Nur Azriyn Ayub-Muhd Arif Latif, juga tidak menghadapi masalah untuk melangkah ke pusingan suku akhir.

Mereka menumpaskan wakil Jepun, Tatsuya Watanabe-Hashiru Shimono, 21-17, 21-17.

Pasangan muda, Aaron Chia dan Woh Sooi Yik, turut mempamerkan prestasi membanggakan untuk menempah laluan ke pusingan seterusnya dengan menundukkan wakil Vietnam, Tuan Duc Do-Pham Hong Nam, 21-15, 19-21, 21-18.

Satu lagi pasangan muda, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani, juga tidak mengecewakan. Pilihan ketiga kejohanan itu unggul menyingkirkan wakil Hong Kong, Ho Wai Lun-Hee Chun Mak, 21-17, 21-16.

"Lawan mungkin dapat membaca gaya permainan kami dalam set kedua tetapi di penghujung perlawanan, kami dapat mengubah cara kami," kata Izzudin.

Hari gemilang buat kem negara diakhiri dengan kejayaan beregu wanita, Goh Yea Ching-Yap Cheng Wen, yang menyingkirkan lawan dari Hong Kong, Ng Wing Yung-Yeung Nga Ting, 21-17, 16-21, 21-16.