Gandingan beregu wanita negara, Soong Fie Cho dan Tee Jing Yi, menepati status mereka sebagai pilihan pertama Cabaran Antarabangsa Malaysia 2018 apabila meneruskan cabaran ke suku akhir yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.

Gandingan yang mula dibentuk sejak tahun lalu itu dijangka tidak berdepan kesukaran dalam pertemuan pusingan kedua menentang pasangan dari Jepun, Rira Kawashima-Saori Ozaki.

Set pertama memihak wakil negara apabila mereka mencatat kemenangan 21-15.

Ketika set kedua hampir pasti dalam genggaman, kesilapan mudah menyaksikan lawan mereka bangkit merapatkan jurang sebelum meraih kemenangan 21-18 bagi membawa permainan ke set penentuan.

Momentum dalam set berkenaan kembali memihak kepada Fie Cho-Jing Yi, sekali gus menutup saingan dengan keputusan 21-11.

"Keadaan dalam gelanggang masih belum dirasai sepenuhnya, jadi diharapkan aksi esok akan menjadi lebih baik.

"Pertandingan boleh dikira sebagai latihan kerana minggu depan sudah bermula Kejohanan Asia," ujar Jing Yi.

Sementara itu, Jing Yi kekal dengan keyakinan peluangnya bersama Fie Cho masih ada untuk mewakili negara ke pusingan akhir Piala Uber yang akan berlangsung di Bangkok pertengahan bulan depan.

Ia berdasarkan kepada persembahan konsisten dalam beberapa pertandingan terakhir, antaranya separuh akhir Terbuka Finland awal bulan ini serta suku akhir Terbuka New Orleans, bulan lalu.

Masalah kecederaan yang melanda bahagian beregu wanita negara menyaksikan tiada gandingan yang hampir pasti untuk tersenarai ke saingan Piala Uber nanti.

Dalam Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah, Februari lalu, Jing Yi digandingkan bersama Vivian Hoo susulan kecederaan yang menimpa Woon Khe Wei.

"Saya akan menganggapnya sebagai cabaran buat diri saya kerana ini menjadi motivasi buat kami untuk merebut tempat dalam beregu pertama dan kedua. Kami harus mengikut langkah demi langkah, jadi saya berharap semuanya lancar.

"Setiap persembahan akan memberi kesan kepada peluang untuk beraksi dalam Piala Uber, sama seperti Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean," ujarnya.