Beregu wanita negara, Soong Fie Cho-Tee Jing Yi, mencerahkan peluang untuk menyertai skuad Piala Uber selepas muncul juara Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia sambil beregu campuran, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei, turut meraih kejuaraan selepas baru dua bulan digandingkan bersama.

Dalam aksi di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini, Tang Jie-Yen Wei yang digandingkan selepas Kejohanan Terbuka Switzerland pada Februari lalu, melakar kejayaan dramatik ke atas Andika Ramadiansyah-Mychelle Bandaso dari Indonesia.

Tewas 12-21 dalam set pertama, gandingan Malaysia itu jelas tidak mengenal erti putus asa apabila bangkit untuk memenangi pertarungan sengit set kedua 23-21 sebelum cemerlang memastikan kemenangan 21-13 dalam set penentuan.

"Kejayaan ini membantu melonjakkan keyakinan kami. Kami perlu bekerja lebih keras lagi selepas kejohanan ini dalam pemburuan gelaran lebih besar," ujar Tang Jie.

Terdahulu, Fie Cho-Jing Yi yang mula digandingkan sejak Mei tahun lalu memperagakan aksi mantap dalam set pertama ketika berdepan rakan senegara, Lim Chiew Sien-Tan Sueh Jeou.

Menang 21-13, kehebatan Fie Cho-Jing Yi semakin terserlah dalam set kedua apabila merakamkan kemenangan 21-10 dalam masa 33 minit untuk bergelar juara.

Kejayaan ini tampak meletakkan mereka sebagai antara pilihan untuk disenaraikan dalam kempen Piala Uber, bulan depan.

"Semakin hari, gandingan kami semakin bagus.

"Lawan kami pada hari ini pula merupakan rakan sepasukan, kami tahu corak permainan mereka lalu memberi keyakinan kepada kami," kata Jing Yi.

Dalam perkembangan sama, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, hampir melakar kejutan ke atas bekas juara dunia dua kali, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia, apabila tewas dalam aksi tiga set.

Malah, Hendra juga memiliki reputasi hebat sebagai pemenang pingat emas Sukan Olimpik Beijing 2008 bersama pasangannya ketika itu, Markis Kido.

Namun, wakil negara tampil dengan semangat melawan tinggi sebelum kecundang 17-21, 21-17, 19-21.

"Kami anggap mereka beregu berpengalaman, apatah lagi pernah meraih gelaran dunia.

"Sebaik memasuki gelanggang, kami mahu berjuang," kata Wooi Yik sambil pendapat itu dipersetujui Aaron.