Tiga beregu negara menyerlah dalam Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia Celcom Axiata 2016 apabila memenangi kesemua kategori beregu dalam perlawanan akhir di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, hari ini.

Bagaimanapun, dua lagi pemain negara, iaitu perseorangan lelaki, R Satheishtharan, dan perseorangan wanita, Ho Yen Mei, yang turut mara ke final terpaksa berpuas hati di tempat kedua apabila tewas kepada lawan masing-masing.

Satheishtharan terpaksa akur selepas tewas tiga set 9-21, 21-16, 12-21 kepada pemain Indonesia, Maulana Panji Ahmad, manakala Yen Mei kalah kepada pemain Jepun, Takahasi Sayaka, 17-21, 11-21.

Beregu campuran, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai, memulakan kecemerlangan beregu Malaysia apabila menundukkan pasangan Chinese Taipei, Yang Po Hsuan dan Wen Hao Yun, 21-13, 21-17 dengan hanya mengambil masa 25 minit.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Chooi Kah Ming dan Low Juan Shen, juga tidak mengalami kesukaran untuk muncul juara apabila menewaskan beregu Chinese Taipei, Lu Ching Yao dan Yang Po Han, dengan straight set, 21-9, 21-13.

Bagaimanapun, laluan tidak begitu mudah buat beregu wanita, Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean, apabila terpaksa mengharungi 'pertempuran' tiga set dengan beregu China, Jiang Binbin dan Tang Pingyang.

Set pertama menyaksikan beregu negara itu menang 21-17, namun set kedua seakan-akan tidak menjadi buat mereka apabila tewas 17-21.

Bagaimanapun, sokongan hampir 2,000 penyokong tuan rumah berjaya menyuntik semangat Mei Kuan dan Meng Yean apabila mereka bangkit untuk menundukkan beregu dari negara Tembok Besar itu 21-15.

Kejohanan yang berlangsung sejak Selasa lalu dan berakhir hari ini, disertai seramai 301 pemain dari pelbagai negara.

Keputusan:

R. Satheishtharan kk Maulana Panji Ahmad 9-21, 21-16, 12-21.

Ho Yen Mei kk Takahasi Sayaka 17-21, 11-21.

Goh Soon Huat/Shevon Jemie Lai mn Yang Po Hsuan/Wen Hao Yun 21-13, 21-17.

Chooi Kah Ming/Low Juan Shen mn Lu Ching Yao/Yang Po Han 21-9, 21-13.

Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean mn Jiang Binbin/Tang Pingyang 21-17, 17-21, 21-15.