Inisiatif penggunaan bulu tangkis sintetik merupakan langkah tepat untuk sukan badminton membantu memelihara alam sekitar.

Baru-baru ini, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengumumkan bahawa penggunaan bulu tangkis sintetik akan mula menggantikan bulu tangkis tradisional tahun depan.

Sejak dipertandingkan secara kompetitif, bulu tangkis tradisional yang diperbuat daripada bulu angsa sudah mula mendatangkan kesan terhadap populasi haiwan itu.

Faktor monopoli pengeluaran dan pengedaran bulu angsa juga menyaksikan kos menghasilkan bulu tangkis tradisional kini sudah semakin meningkat.

Tetapi kegusaran komuniti badminton dunia, termasuk Malaysia, adalah keupayaan bulu tangkis sintetik yang akan diperkenalkan itu dalam menawarkan pengalaman dan kualiti yang sama seperti bulu tangkis tradisional.

"Bagi saya, ia salah satu usaha yang bagus daripada BWF," kata Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh.

"Kerana kita tahu bahawa bulu angsa yang digunakan untuk membuat bulu tangkis ketika ini merupakan komoditi yang sangat mahal.

"Bulu angsa itu datangnya dari China.

"Jadi, isu monopoli juga berlaku dan ia bermakna bulu tangkis kini sudah menjadi terlalu mahal.

"Disebabkan permintaan yang terlalu banyak dan kurangnya penawaran, ia akan turut melibatkan isu kos yang tinggi dan alam sekitar.

"Jika BWF menggunakan bulu sintetik, ia satu langkah yang baik.

"Tetapi mereka harus memastikan mutu bulu tangkis itu hampir sama dengan yang sedia ada," katanya.



Editor: Muzaffar Musa