Pertembungan Indonesia dan Malaysia dalam perlawanan terakhir Kumpulan B, Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia sudah pasti menghadirkan persaingan sengit apabila kedua-duanya mengidamkan status sebagai juara kumpulan.

Sama seperti Malaysia, Indonesia tidak berdepan masalah ketika menjinakkan Sri Lanka 5-0 dalam pertemuan hari ini.

Namun, pengurus pasukan, Lius Ponggoh, mengambil pendekatan merendah diri serta mengakui kekuatan barisan pemainnya adalah sama seperti Malaysia, yang turut dibarisi pemain muda.

Kedua-dua pasukan sebenarnya sudah pun mengesahkan slot peringkat ke suku akhir, justeru perlawanan esok tertumpu kepada siapa yang akan menjadi juara Kumpulan B.

"Kami berjaya mempamerkan permainan lebih cemerlang ketika berdepan Sri Lanka, kami akan cuba untuk mengulangi prestasi ini ketika berdepan Malaysia," ujar Lius.

Bagi pemain-pemain Indonesia, mereka sudah pun mencongak strategi untuk menewaskan Malaysia agar mudah bagi mereka mengelak daripada bertemu lawan lebih kuat di peringkat suku akhir.

"Indonesia dan Malaysia memiliki kekuatan yang hampir sama, kami akan cuba yang terbaik untuk menjuarai Kumpulan B," jelas Muhammad Bayu Pangisthu.

"Mana-mana pemain yang akan diturunkan dalam perlawanan esok harus memberikan yang terbaik," ujar Angga Pratama.