Berpasukan Campuran Asia dijenamakan semula sempena kenang jasa Tong Yun Kai

By Shaiful Shamsudin 22 February 2017
Berpasukan Campuran Asia dijenamakan semula sempena kenang jasa Tong Yun Kai
Presiden Badminton Asia, Anton Aditya Subowo, berpuas hati dengan penganjuran edisi pertama Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia di Vietnam dan mengumumkan Hong Kong bakal menjadi tuan rumah untuk edisi kedua kejohanan dwitahunan itu. 

Justeru, di pihak badminton Asia, mereka bakal mengadakan perbincangan untuk memperbaiki segala kelemahan bagi memastikan penganjuran edisi seterusnya lebih lancar dan gemilang. 

Selain mengharapkan lebih banyak penyertaan dari kalangan negara Asia, penganjuran seterusnya juga mungkin akan diwujudkan hadiah wang kemenangan buat sang juara. 

"Pasti pihak penganjur akan sentiasa meningkatkan lagi kejohanan ini agar lebih menarik dan penonton lebih terhibur. 

"Mungkin penghargaan wang kemenangan akan diperkenalkan selain aspek penambahbaikan dalam pertandingan ini," ujarnya. 

Edisi pertama Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia menjadi milik Jepun selepas menumpaskan Korea Selatan 3-0 dalam aksi final, Ahad lalu. 

Jelas Anton lagi, penamaan kejohanan ini kepada Piala Tong Yun Kai adalah bukti pengiktirafan terhadap Presiden Persatuan Badminton Hong Kong, Tong Yun Kai, yang banyak memberi sumbangan dalam arena badminton di rantau Asia. 

"Tong Yun Kai merupakan legenda di pentas badminton Asia. Beliau banyak membantu perkembangan badminton Asia, khususnya di Hong Kong dan serata dunia. 

"Kami menghargai jasa Tong Yun Kai dan anaknya, Tong Wai-lun, yang banyak membantu badminton Asia. 

"Ini adalah penganjuran pertama bagi pertandingan membabitkan acara berpasukan campuran seperti Piala Sudirman.

"Pertandingan ini sempena mengenang jasa Tong Yun Kai."
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment

Read Next

Sengketa Chong Wei-Frost ibarat kanser

By Ammar Hakim 18 Februari 2017. 11.51 AM