Pemain badminton remaja negara, Muhammad Fazriq Mohd Razif, lebih selesa untuk menjalani latihan sepenuhnya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, dan percaya ia mampu membantunya memperbaiki kelemahan bagi memburu tempat dalam Kejohanan Badminton Remaja Dunia dan Asia 2020.

Juara dunia bawah 15 tahun itu mengakui rutin latihannya kini berbeza selepas berkongsi bumbung bersama skuad senior selain mempunyai latihan dan kemudahan yang lengkap.

Pemain berusia 16 tahun itu menjelaskan bahawa dia masih memerlukan lebih banyak pendedahan bagi meluaskan pengalaman di peringkat antarabangsa.

Fazriq, yang beraksi dalam acara perseorangan dan beregu lelaki, bertekad memburu slot dalam Kejohanan Remaja Dunia dan Asia 2020 bagi memberi cabaran dalam saingan lebih berprestij.

"Misi saya tahun ini adalah untuk cuba mewakili Malaysia dan memenangi pingat dalam Kejohanan Remaja Dunia dan Asia.

"Selain itu, saya mencari pingat di peringkat antarabangsa," katanya hari ini.

Anak legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek, itu berasakan bahawa dia memerlukan tempoh lima tahun lagi untuk menggalas cabaran negara di peringkat lebih kompetitif.

"Saya perlu timba pengalaman, apatah lagi kurang mendapat pendedahan.

"Selepas lima tahun, Insya-Allah saya sudah bersedia untuk mencabar kejohanan utama dunia seperti Kejohanan Dunia, Seluruh England dan Sukan Olimpik."




Editor: Shaiful Shamsudin