Pengurus Besar, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Lawrence Chew, mengharapkan semua pihak memberikan ruang dan masa secukupnya buat kelima-lima pemain yang berada dalam projek khas untuk membuktikan kemampuan mereka.

Selain Datuk Lee Chong Wei yang memulakan tahun 2017 dengan merangkul kejayaan Seluruh England, lima pemain lain dalam projek khas masih belum menunjukkan prestasi meyakinkan.

Ditambah dengan Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang mengalami kecederaan serius di bahagian belakang, dua wakil negara yang beraksi dalam Terbuka Vietnam tempoh hari, Lim Ching Wing dan Chong Yee Han, tersingkir awal, sekaligus menimbulkan persoalan tentang keberkesanan program ini.

Namun, bagi Lawrence, ia masih terlalu awal untuk membuat penilaian terhadap lima pemain yang berada dalam kelompok itu.

"Masih terlalu awal untuk membuat penilaian terhadap pemain-pemain ini. Sasaran telah diletakkan dalam Kejohanan Dunia dan dari situ, kami akan melihat perkembangan program ini," katanya.

Selain penumpuan terhadap misi Chong Wei untuk merangkul kejuaraan dalam Kejohanan Dunia di Glasgow, Ogos nanti, BAM juga akan memastikan kesemua pemain dalam projek khas mencapai tahap memberangsangkan menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur nanti.

Bagi memastikan aspirasi untuk menjadi juara keseluruhan dapat dicapai, BAM amat komited untuk menurunkan barisan terbaik bagi menyumbang emas daripada sukan badminton.

"Mereka perlu membuktikan kebolehan beraksi di peringkat antarabangsa. Beraksi di laman sendiri, pemain-pemain ini perlu memberikan yang terbaik," tambahnya.