Beregu utama lelaki negara tumpu persiapan Seluruh England

By Shaiful Shamsudin 20 January 2017
Beregu utama lelaki negara tumpu persiapan Seluruh England
Pemain beregu lelaki nombor satu negara, Tan Wee Kiong, masih terkilan terlepas saingan Grand Prix Emas Masters Malaysia 2107 di sebalik keperluan persiapan rapi menjelang Kejohanan Seluruh England, Mac nanti. 

Wee Kiong juga mengesahkan sedang menangani kecederaan ringan pada bahu dalam pada dia tetap menjalani latihan intensif. 

Bagaimanapun, dia akur dengan keperluan aksi kompetitif bersama gandingannya, Goh V Shem, sebelum memikirkan bagaimana mencabar Kejohanan Seluruh England. 

Jangkaan Wee Kiong-V Shem untuk tampil dalam kejohanan kebangsaan adalah di Ulu Kinta, Perak, bulan depan. 

"Dari dulu sehingga ke hari ini, kami mahu menang setiap kali beraksi. 

"Ada masanya kami menang dan kalah. Saya tak boleh cakap kami tidak letakkan sasaran atau kalah dengan mudah.  

"Saya diminta oleh doktor agar tidak mengambil risiko mengenai kecederaan ringan di bahagian bahu ini. 

"Saya menuruti arahan doktor agar saya dapat fokus untuk menghadapi Kejohanan Seluruh England," katanya. 

Wee Kiong juga berkongsi pandangan aspek positif daripada penglibatan dalam Liga Perdana Badminton di India sepanjang 14 hari, bermula awal tahun ini. 

Dalam liga itu, Wee Kiong yang mewakili skuad Hyderabad Hunters akan bergandingan dengan bekas pemain senior negara, Tan Boon Heong. 

"Ia pengalaman yang baik buat semua pemain. 

"Pemain berpeluang untuk menimba pengetahuan apabila bergandingan dengan rakan gandingan yang baru walaupun sebelum ini merupakan pencabar mereka."


About Author

Shaiful Shamsudin

Comment