Beregu lelaki negara tersungkur di separuh akhir

By Jannah Ali 1 October 2016
Beregu lelaki negara tersungkur di separuh akhir
Harapan untuk menyaksikan wakil negara beraksi di pentas akhir Kejohanan Siri Super Terbuka Korea Selatan 2016 lebur apabila pasangan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, tewas kepada pasangan beregu dari China, Li Junhui- Liu Yuchen, 21-18, 15-21 dan 13-21, sebentar tadi.

Kali terakhir kedua-dua beregu itu dipertemukan ialah ketika Kejohanan Siri Super Terbuka India awal tahun ini, dengan kemenangan berpihak kepada gandingan negara 21-19, 21-18.

Perlawanan yang mengambil masa 51 minit itu menyaksikan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu mendapat tentangan hebat daripada Li dan Liu, bagaimanapun, mereka berjaya untuk mengungguli set pertama 21-18.

Set kedua berlangsung sengit apabila kedua-dua pasangan saling kejar-mengejar mata. Memasuki pertengahan perlawanan, gandingan beregu utama negara nyata gagal untuk menyaingi momentum pasangan China itu yang semakin ghairah untuk mengitup mata dan berjaya untuk merampas set tersebut 21-15.

Memasuki set ketiga, V Shem-Wee Kiong gagal untuk terus mempamerkan aksi cemerlang apabila beberapa 'unforced error' dilihat menjadi penyumbang mata mudah buat pasangan China itu, sekali gus memastikan Li dan Liu memenangi set ketiga, 21-13 dan melangkah ke perlawanan akhir.

Menanti Li dan Liu dalam final adalah pasangan beregu lelaki dari Korea Selatan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong, yang menewaskan Huang Kaixiang-Wang Yilyu dari China, 21-11, 21-16.

Final itu juga bakal menjadi perlawanan terakhir buat gandingan Korea Selatan itu selepas Yong Dae mengumumkan persaraannya.

About Author

Jannah Ali

Comment