Rentak dua gandingan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Goh Soon Huat-Shevon Lai, sukar digugat selepas masing-masing meneruskan kemaraan ke separuh akhir Kejohanan Grand Prix (GP) Emas Masters Malaysia 2017, hari ini.

Pilihan kedua kejohanan, Kian Meng-Pei Jing, turun berdepan gandingan dari Taiwan yang juga pilihan kelima, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, dalamsuku akhir.

Ini merupakan pertemuan kedua buat kedua-dua pasangan itu selepas Terbuka Macau tahun lalu, di mana gandingan negara tewas.

Set pertama berlangsung sengit dengan masing-masing memperoleh mata hingga kedudukan terikat 7-7.

Kian Meng-Pei Jing kemudian mula menguasai permainan untuk mendahului lawan sehingga 17-11 sebelum menutup set berkenaan 21-19.

Set berikutnya menyaksikan gandingan negara sedikit perlahan dengan memberi mata mudah kepada lawan.

Namun, Kian Meng-Pei Jing kembali menemui rentak sebenar untuk memastikan tidak banyak kesilapan dilakukan bagi mencatat kemenangan 21-16.

"Kami pernah kalah kepada mereka sekalidalam Terbuka Macau, dua bulan lepas.

"Sebelum perlawanan ini, kami telah membuat persiapan rapi untuk menghadapi mereka.

"Saya sangat gembira dengan kemenangan kami," kata Pei Jing.

Turut cemerlang gandingan Soon Huat-Shevon meskipun dipaksa bertarung dalam tiga set untuk mengatasi gandingan dari Singapura, Terry Hee Yong Kai-Tan Wei Han.

Dikejutkan dengan permainan kemas lawan, wakil negara gagal memberi saingan sebenar dalam set pertama apabila tewas 15-21.

Hanya dalam set kedua, Soon Huat-Shevon berjaya mengatasi kelemahan mereka untuk memberi tentangan kepada lawan bagi meraih kemenangan 21-15, sekaligus mengheret aksi ke set penentuan.

Rentak konsisten berjaya dikekalkan gandingan negara di sebalik kebangkitan lewat Terry-Wei Han untuk mengesahkan tempat dalam separuh akhir dengan kemenangan 21-13.

"Saya akui dalam pertarungan tadi kami terlalu gopoh dan belum mendapat rentak permainan sebelum kami mula lebih berhati-hati mengawal bulu tangkis.

"Dalam set kedua, kami mula mendapat rentak kerana kawalan permainan yang lebih baik," kata Soon Huat.