Program beregu campuran negara bukan sahaja sudah memecah tradisi populariti kategori perseorangan dan beregu lelaki, malah membuktikan mereka adalah antara yang terbaik di dunia.

Beregu campuran Malaysia sebelum ini dipandang sepi, tetapi pasca Olimpik Rio membuktikan kategori ini merupakan antara wakil utama negara di pentas antarabangsa.

Malah, jika dibandingkan dengan kategori lain, beregu campuran memiliki dua wakil dalam kelompk 20 terbaik dunia.

Finalis Olimpik Rio, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying kini berada di ranking kelima dunia sementara Lai Pei Jing dan Tan Kian Meng di tangga ke-17.

Ia menakjubkan memandangkan Pei Jing dan Kian Meng sebelum ini beraksi sebagai perseorangan sebelum digandingkan Januari lalu.

"Sukar dipercayai kerana ketika kami digandingkan bersama, saya sudah berkata kepadanya bahawa dia mungkin memerlukan setahun untuk serasi tetapi saya tidak menyangka kami mampu mendapat keputusan positif," jelas Pei Jing.

Malah, skuad ini diperkuatkan dengan kehadiran seorang lagi bakat daripada perseorangan, Goh Soon Huat, yang digandingkan dengan Shevon Lai.

Finalis beregu campuran di Rio, Peng Soon, berpendapat, kemasukan Soon Huat satu petanda positif.

"Diharapkan dia dapat mempelajari corak baharu bersama skuad beregu campuran kerana kami sangat bersatu. Kami berlatih dan berbincang bersama-sama," jelasnya.