Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, berjaya menawan saingan Terbuka Amerika Syarikat dan ia bakal menjadi bekalan untuk menampilkan aksi cemerlang dalam Terbuka Malaysia bermula 26 Jun ini.

Secara keseluruhan, ini merupakan final ketiga Peng Soon dan Liu Ying sejak digandingkan semula awal tahun ini.

Meskipun saingan di Fullerton, California itu tidak menampilkan pemain elit dunia, kredibiliti gandingan emas Malaysia itu tetap diuji.

Antaranya ketika aksi pembuka tirai menentang pasangan Korea Selatan, Seo Sung Jae-Chae Yoo-jung dengan mereka memerlukan tiga set untuk menang.

Tidak kurang juga dalam pertemuan final dengan dengan wakil Jerman, Marvin Seidel dan Linda Efler.

Keputusan 21-19 dalam set pertama tidak mencerminkan kemampuan sebenar Peng Soon-Liu Ying tetapi menawarkan keyakinan buat mereka dalam memutlakkan kemenangan.

Selepas 38 minit bertarung, beregu Malaysia itu unggul untuk menjulang kejuaraan dengan catatan 21-15 dalam set kedua.

"Aksi kami dalam lima perlawanan di sana dianggap baik. Bagaimanapun, prestasi kami masih belum cukup bagus, kami sepatutnya mampu beraksi lebih baik lagi.

"Walaupun muncul juara, kami masih belum mencapai kemuncak prestasi," kata Peng Soon.

Ini merupakan kejuaraan kedua Peng Soon-Liu Ying musim ini selepas Terbuka Thailand -- gelaran ini juga yang pertama mereka sejak di bawah kendalian Pang Cheh Chang sebagai ketua jurulatih.

"Pada awal kempen menentang beregu Korea, permainan Peng Soon-Liu Ying agak kelam-kabut tetapi masih boleh menang.

"Bagi saya, kejuaraan ini sekadar ujian, tiada apa yang perlu diraikan sangat pun.

"Apa yang penting adalah kejohanan akan datang. Fokus utama mereka adalah dalam kejohanan besar seperti Terbuka Malaysia dan Indonesia.

"Medan itulah yang akan membolehkan saya menilai adakah pembaharuan yang saya ketengahkan berkesan atau tidak," kata jurulatih itu.

Ujian sebenar dua pemain itu sudah pasti pada Terbuka Malaysia dengan mereka akan memulakan kempen menentang wakil Taiwan.

Mereka juga sekelompok dengan rakan sepasukan, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

"Mereka mesti diberi keutamaan, iaitu persiapan berdepan lawan yang lebih mencabar berbanding menyasarkan peringkat seperti separuh akhir.

"Bagi saya, sasaran itu tidak realistik. Ini kerana setiap pertarungan adalah penting dan persembahan harian akan memberi kesan kepada aksi seterusnya," katanya lagi.